PERANAN SUHAKAM
Peranan SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:
a) Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.
b) Untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.
c) Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
d) Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
BIDANG KUASA SUHAKAM
Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:
a) Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengakujanji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu.
b) Untuk menasihati Kerajaan dan / atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.
c) Untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.
d) Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
e) Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.
f) Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuakuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.
KEPENTINGAN SUHAKAM KEPADA RAKYAT
Penubuhan SUHAKAM pada tahun 1999 telah banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mereka. SUHAKAM memainkan peranan penting sebagai medium perantaraan di antara rakyat dengan kerajaan. Pertubuhan ini telah memudahkan prosedur pengaduan yang melibatkan kerajaan. Rakyat Malaysia yang ditindas atau tidak mendapat hak yang sepatutnya sebagai individu di Malaysia boleh mengadu kepada SUHAKAM untuk campurtangan dan seterusnya membantu mereka meyelesaikan masalah yang dialami oleh pengadu.
Pihak SUHAKAM bersedia membantu tanpa adanya sikap pilih kasih. Penyiasatan akan dibuat berdasarkan aduan yang diterima. Sekiranya kes yang dilaporkan benar, pihak SUHAKAM dengan sedaya upaya akan cuba untuk membantu menyelesaikannya dengan pihak yang bertanggungjawab. SUHAKAM juga telah menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri dan selagi sesuatu perkara yang berlaku tidak melanggar hak kebebasan asasi individu mereka boleh hidup dengan aman dan damai. Andai kata terjadi sesuatu perkara yang melanggar hak kebebasan asasi mereka, setiap individu boleh melaporkan perkara itu kepada SUHAKAM untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.
Bagi memudahkan urusan pengaduan, SUHAKAM telah membahagikan kumpulan kerja mengikut bidang tertentu iaitu Kumpulan Kerja Pendidikan dan Promosi Hak Asasi Manusia, Kumpulan kerja Pembaharuan Perundangan dan Triti Antarabangsa, Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan dan Kumpulan kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.
Sikap proaktif SUHAKAM telah memberi keyakinan kepada umum bahawa Suruhanjaya ini mampu membantu menyelesaikan masalah yang diadukan kerana mereka sanggup turun padang tidak kira di mana sekalipun ia berlaku. Maka tidak hairanlah banyak kes yang diadukan dapat diselesaikan oleh SUHAKAM dan hingga kini aduan yang diterima telah bertambah. Ini menunjukkan masyarakat telah mengiktiraf SUHAKAM dan peranannya dalam masyarakat.
SUHAKAM telah banyak membantu mengembalikan hak masyarakat dalam kehidupan mereka. Peranan yang dimainkan tidak sewajarnya diperlekehkan oleh masyarakat. Berdasarkan kajian dan bacaan, pihak SUHAKAM telah banyak membuat penyelidikan dan sanggup turun padang untuk menyaksikan sendiri apa yang dikatakan oleh pengadu agar mereka mendapat gambaran yang sebenarnya. Walaupun SUHAKAM mempunyai batas-batas tertentu dalam menjalankan tugasnya, namun dengan kerjasama pihak yang terbabit banyak perkara telah dapat diselesaikan. Oleh itu masyarakat yang masih tidak pasti peranan SUHAKAM sewajarnya mengikuti seminar-atau bengkel yang dianjurkan agar hak kebebasan asasi mereka terbela.