Showing posts with label SUHAKAM. Show all posts
Showing posts with label SUHAKAM. Show all posts

Tuesday, 18 June 2013

PERANAN , BIDANG KUASA DAN KEPENTINGAN SUHAKAM

PERANAN SUHAKAM

Peranan SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

a) Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.

b) Untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.

c) Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.

d) Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.



BIDANG KUASA SUHAKAM

Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif. Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

a) Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengakujanji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu.

b) Untuk menasihati Kerajaan dan / atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.

c) Untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.

d) Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.

e) Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.

f) Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuakuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.



KEPENTINGAN SUHAKAM KEPADA RAKYAT

Penubuhan SUHAKAM pada tahun 1999 telah banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mereka. SUHAKAM memainkan peranan penting sebagai medium perantaraan di antara rakyat dengan kerajaan. Pertubuhan ini telah memudahkan prosedur pengaduan yang melibatkan kerajaan. Rakyat Malaysia yang ditindas atau tidak mendapat hak yang sepatutnya sebagai individu di Malaysia boleh mengadu kepada SUHAKAM untuk campurtangan dan seterusnya membantu mereka meyelesaikan masalah yang dialami oleh pengadu.

Pihak SUHAKAM bersedia membantu tanpa adanya sikap pilih kasih. Penyiasatan akan dibuat berdasarkan aduan yang diterima. Sekiranya kes yang dilaporkan benar, pihak SUHAKAM dengan sedaya upaya akan cuba untuk membantu menyelesaikannya dengan pihak yang bertanggungjawab. SUHAKAM juga telah menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri dan selagi sesuatu perkara yang berlaku tidak melanggar hak kebebasan asasi individu mereka boleh hidup dengan aman dan damai. Andai kata terjadi sesuatu perkara yang melanggar hak kebebasan asasi mereka, setiap individu boleh melaporkan perkara itu kepada SUHAKAM untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.

Bagi memudahkan urusan pengaduan, SUHAKAM telah membahagikan kumpulan kerja mengikut bidang tertentu iaitu Kumpulan Kerja Pendidikan dan Promosi Hak Asasi Manusia, Kumpulan kerja Pembaharuan Perundangan dan Triti Antarabangsa, Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan dan Kumpulan kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.

Sikap proaktif SUHAKAM telah memberi keyakinan kepada umum bahawa Suruhanjaya ini mampu membantu menyelesaikan masalah yang diadukan kerana mereka sanggup turun padang tidak kira di mana sekalipun ia berlaku. Maka tidak hairanlah banyak kes yang diadukan dapat diselesaikan oleh SUHAKAM dan hingga kini aduan yang diterima telah bertambah. Ini menunjukkan masyarakat telah mengiktiraf SUHAKAM dan peranannya dalam masyarakat.


SUHAKAM telah banyak membantu mengembalikan hak masyarakat dalam kehidupan mereka. Peranan yang dimainkan tidak sewajarnya diperlekehkan oleh masyarakat. Berdasarkan kajian dan bacaan, pihak SUHAKAM telah banyak membuat penyelidikan dan sanggup turun padang untuk menyaksikan sendiri apa yang dikatakan oleh pengadu agar mereka mendapat gambaran yang sebenarnya. Walaupun SUHAKAM mempunyai batas-batas tertentu dalam menjalankan tugasnya, namun dengan kerjasama pihak yang terbabit banyak perkara telah dapat diselesaikan. Oleh itu masyarakat yang masih tidak pasti peranan SUHAKAM sewajarnya mengikuti seminar-atau bengkel yang dianjurkan agar hak kebebasan asasi mereka terbela.

SUHAKAM : SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ini ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulungnya pula diadakan pada 24 April 2000. Penyertaan Malaysia yang aktif di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Commission for Human Rights-UNCHR) telah menyebabkan Malaysia juga berusaha menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat nasional pada tahun 1993 hingga 1995. Pada waktu itu, Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Seterusnya pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan iaitu dilantik sebagai Pengerusi sesi ke-52 UNCHR. Ketua perwakilan pada masa itu adalah Tan Sri Dato’ Musa Hitam.

Kerajaan malaysia telah menimbangkan sebab-sebab penubuhan Hak Asasi Manusia Malaysia. Antaranya ialah penglibatan malaysia yang aktif dalam UNCHR semenjak tahun 1993. Selain itu juga, impak daripada kejayaan persidangan dunia berhubung hak asasi manusia pada tahun 1993 di vienna telah menarik perhatian masyarakat dunia turut menarik perhatian malaysia bagi mewujudkan pertubuhan Hak Asasi Manusia. Selain itu juga, faktor penyumbang kepada pertubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia adalah kerana  negara-negara yang menyertai UNCHR termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga meyedari bahawa pentingnya diwujudkan badan-badan hak asasi manusia di peringkat negara masing-masing. Hal ini telah menjadikan Malaysia salah satu negara yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Namun begitu masih terdapat pelbagai faktor lain yang telah mendokong cadangan penubuhan SUHAKAM ini antaranya ialah terdapat tekanan yang meluas di peringkat antarabangsa terhadap hak asasi manusia dan menyedari bahawa isu ini merentasi sempadan dan kedaulatan sesebuah negara. selain itu juga, penglibatan Malaysia yang begitu aktif dalam pertubuhan bangsa-bangsa bersatu dan juga suasana politik malaysia yang semakin berkembang di samping masyarakat malaysia yang bergerak maju dan peka terhadap isu-isu semasa, isu-isu hak asasi manusia dan juga isu-isu politik. Oleh yang demikian, berdasarkan faktor-faktor tersebut Tan Sri Dato’ Musa Hitam yang ketika itu merupakan perwakilan Malaysia telah mencadangkan buat pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia bagi menubuhkan badan hak asasi manusia sendiri yang bebas.

Pada 24 April 1999 pula iaitu lima tahun selepas idea itu diajukan, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentang satu Rang Undang-undang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. Rang Undang-undang ini berpandukan kepada Prinsip Paris 1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga pengalaman yang ada pada institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

Terdapat pelbagai fungsi dan kuasa penubuhan SUHAKAM antaranya ialah
·         Membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia.
·         Memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan mengenai hak asasi manusia.
·  Menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan, dan tatacara pentadbiran serta mengesyorkan langkah yang perlu diambil.
·        Mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.
·  Suruhanjaya hak asasi manusia turut berperanan dalam menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia yang disebut di bawah seksyen 12.
§  Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 akta tersebut.
§  Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya.

§  SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah di putuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.